Demam kepialu atau Demam paratifoid (Typhoid Fever dalam bahasa Inggeris) merupakan penyakit yang disebabkan oleh bakteria yang dikenali sebagai Salmonella typhi. Demam kepialu biasa terdapat di seluruh dunia, dan hanya boleh dibawa dalam saluran usus dan darah manusia.
Demam kepialu merebak melalui makanan atau air yang tercemar dengan bakteria dari orang yang dijangkiti, atau dari sisi kumbahan yang mengandungi bakteria. Oleh itu kebersihan tempat penyediaan makanan perlu dikekalkan setiap waktu. Mereka yang mengendalikan makanan jualan perlu menjalani pemeriksaan perubatan seperti yang disyaratkan dalam lesan perniagaan makanan. Elakkan daripada membeli makanan daripada peniaga tidak berlesen terutamanya apabila terdapat wabak demam kepialu di sesuatu kawasan.
Selepas membiak di dalam badan pesakit, antara gejala termasuklah demam tinggi 103° ke 104°F (39° ke 40°C), lemah, sakit kepala, hilang selera makan, dan sakit perut. Gejala lain pula termasuklah radang leper, tompok bewarna merah bunga ros. Demam kepialu mampu membawa maut. Gejala akut kebocoran usus kecil (intestinal perforation), berkhayal (delusions), dan menjadi keliru juga boleh berlaku. Antibiotik, seperti ampicillin, trimethoprim-sulfamethoxazole, dan ciprofloxacin biasa digunakan bagi merawat demam kepialu.
Seseorang itu mampu menjadi pembawa penyakit demam kepialu, tanpa menunjukkan sebarang gejala, tetapi mampu menjangkiti orang lain. Pada tahun 1907, Mary Mallon ("Typhoid Mary") menjadi pembawa Amerika Syarikat yang pertama dijejak dan dikenal pasti. Menurut Pusat Kawalan Penyakit (Centers for Disease Control) dianggarkan 1 sehingga 20 orang yang dijangkiti demam kepialu masih membawa penyakit demam kepialu selepas sembuh.
Demam kepialu mungkin berlarutan selama tiga minggu sehingga satu bulan sekiranya tidak dirawat. Kematian berlaku antara setiap 1 dalam 9 ke 1 dalam 3 kes. Suntikan vaksin berserta pemilihan makanan merupakan cara utama mengelakkan terkenanya demam ini.
Demam kepialu telah meragut nyawa beberapa orang terkenal, termasuk Rudyard Kipling, Franz Schubert, Wilbur Wright, dan Putera Pengiring British Albert of Saxe-Coburg-Gotha.