Persepsi tidak tepat terhadap laut menyebabkan ia menjadi tempat semua longgokan sampah dan sisa lain termasuk pembuangan minyak
MASALAH pembuangan sampah ke dalam laut sama ada akibat aktiviti yang dijalankan di kawasan marin atau di darat jika tidak ditangani segera boleh menjadi semakin serius dan berkemungkinan membawa kerosakan kepada sistem ekosistem batu karang dan laut di negara ini.
Jabatan Taman Laut, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menjangkakan lebih banyak spesies akan mati jika isu pencemaran dan pembuangan sisa pepejal dalam laut tidak diatasi dengan segera.
Ketika ini, Malaysia mempunyai 42 peratus daripada 2,300 terumbu karang yang sihat dan 56 peratus lagi dalam kategori sederhana sihat.
Namun, kini, 20 peratus daripada 42 peratus terumbu karang yang sihat itu dicemari oleh pelbagai pencemaran seperti minyak dan sisa pepejal (pukat hanyut dan puntung rokok) yang dibuang di darat dan laut.
Dalam kes hidupan laut mati akibat pencemaran air memang banyak dilaporkan, namun dalam kes paus tersesat dan terdampar di perairan negara ini di Kampung Kuala Nenasi, Pekan baru-baru ini, jarang berlaku.
Dilaporkan ikan itu mati kerana tercekik plastik dan tali nilon tetapi ada kemungkinan ikan berkenaan sebenarnya memang sakit akibat kualiti air yang rendah berbeza dengan habitat sebenarnya.
Dr Zelina Zaiton juga menyatakan saintis percaya apabila paus sesat atau dijumpai terdampar di perairan yang bukan habitatnya menunjukkan kualiti air rendah dan pergerakan arus sudah berubah.
“Ikan paus biasanya tinggal di kawasan laut dalam dan dalam kes ini, kemungkinan ia sesat apabila arus air berubah akibat perubahan iklim dunia,” katanya.
Pensyarah Pengurusan Strategik Zon Pantai dan Maritim, Jabatan Pengurusan Alam Sekitar UPM, Laksamana Pertama (B) Prof Madya Dr Sutarji Kasmin, berkata sisa buangan enap cemar juga berisiko tinggi menyebabkan pencemaran kepada hidupan laut.
Kebiasaannya, sisa buangan enap cemar seperti minyak hitam dibuang oleh kapal dagang. Kawasan yang sering menerima akibat ini adalah laluan kapal dagang dan pelabuhan.
Di negara ini, laluan yang sering menjadi tempat pembuangan enap cemar adalah Selat Melaka kerana ia adalah laluan paling sibuk di dunia.
Mengikut maklumat Pusat Penyelaras Penguat Kuasa Maritim Kebangsaan, Bahagian Keselamatan Negara (BKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM), sebanyak 144 kes pencemaran minyak laut dikenal pasti.
Daripada jumlah itu, 108 kes membabitkan pembuangan enap cemar dan 32 kapal didakwa di mahkamah tetapi hanya 14 saja didapati bersalah.
Difahamkan 15 pelabuhan yang ada di Malaysia menyediakan perkhidmatan kepada kapal dagangan membuang sisa minyak seperti minyak hitam, namun kos pembersihan yang dikenakan terlalu mahal yang memaksa kapal mengambil tindakan membuang sisa berkenaan di dalam laut secara haram.
Mengikut laporan Badan Penyelaras Laut Asia Timur (Cobsea), mendapati ada dua penyebab utama pembuangan sampah di laut di negara ini iaitu sisa buangan daripada kapal dan aktiviti di darat.
Pembuangan sampah daripada kapal ini berlaku akibat aktiviti yang dilakukan di laut. Selain kapal dagang dan bot menangkap ikan, pelabuhan dan loji minyak turut menyumbang kepada pencemaran dan pembuangan sisa pepejal dan cecair ke laut.
Sisa buangan daripada jeti minyak dan gas serta bahan buangan daripada kapal nelayan, bot rekreasi dan kegiatan memancing turut menyumbang kepada pembuangan sampah ke laut.
Setakat ini, Malaysia mempunyai 15 pelabuhan yang menyediakan kemudahan pembuangan sampah sarap daripada kapal yang mana sampah itu diuruskan oleh kontraktor yang dilantik mengendalikannya.
Aktiviti di daratan turut menyebabkan pencemaran laut terutama kawasan persisiran pantai atau pulau seperti Pulau Pinang dan Langkawi.
Sampah sarap daripada daratan dibawa ke laut melalui sungai dan terusan yang turut memberi kesan kemusnahan kepada pantai.
Kegiatan pelancongan dan rekreasi di sepanjang pantai peranginan menjadi antara penyumbang pembuangan sampah. Begitu juga pengurusan sampah di daratan yang tidak teratur turut menyebabkan ia mencemari laut.
Pembuangan sampah biasanya datang daripada kawasan perumahan, rekreasi, kemudahan awam, pusat komersial, kawasan industri, tempat pembuangan sampah dan aktiviti pertanian.
Maka, perlu ada amalan yang baik untuk pengurusan sampah dan cara pengendaliannya (pengumpulan, penghantaran, pengangkutan dan pengalihan, penghapusan dan penembusan sampah).
Pada masa ini, mengikut laporan itu, pengurusan sampah di Malaysia dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT). Kini Malaysia menyediakan Pelan Strategi Kebangsaan Pengurusan Sisa Pepejal yang mensasarkan mengurangkan sumber dan mencegah pembuangan sisa pepejal; mempelbagaikan lagi sistem pengurusan sampah menerusi kaedah kitar semula dan penggunaan semula, penukaran teknologi dan pengenalan kemudahan pembuangan sampah seperti insinerator dan sampah sebagai sumber tenaga baru.
Di Malaysia, kerja pembersihan sampah di pantai dilakukan kumpulan badan bukan kerajaan (NGO), PBT, pertubuhan berkaitan marin dan pusat peranginan pantai termasuk hotel.
Cobsea mencadangkan Malaysia meningkatkan lagi aktiviti pembersihan pantai dan meningkatkan lagi kesedaran awam kepentingan menjaga alam sekitar selain mengurus dengan baik pembuangan sisa ke laut.
Ketiadaan data lengkap mengenai tahap kebersihan dan pencemaran menyukarkan usaha mengatasi masalah pembuangan sampah di Malaysia. Namun, secara keseluruhannya warga Malaysia sudah ada kesedaran mengenai masalah pembuangan sampah melalui siri kempen pembersihan pantai dan program kesedaran yang dilakukan berterusan.
0 suggestions:
Post a Comment